Advertisement
“Kaki Kiri Saya Masih Berbisa” – Podolski
Dunia
MakanBola
Górnik Zabrze

Bekas pemain sayap kebangsaan Jerman, Lukas Podolski teruja dengan kemampuan sebenar apabila menjaringkan gol bertaraf Puskas baru-baru ini.

Bintang berusia 37 tahun itu kini terus mengembangkan lagi kariernya apabila beraksi bersama Górnik Zabrze di Poland.

Bekas bintang Arsenal ini memainkan watak yang cukup penting untuk membantu pasukan meneruskan cabaran bersaing di Liga Poland musim ini.

Walau bagaimanapun, Podolski kembali mencuri tumpuan dunia apabila beliau menjaringkan gol jarak jauh yang cukup cantik.

Pemain yang sarat dengan pengalaman ini melihat kedudukan penjaga gol lawan yang meninggalkan posisinya jauh dari gawang.

Tanpa berfikir panjang, beliau menggunakan kepakaran kaki kirinya untuk membuat rembatan jarak jauh bagi gol keempat pasukan untuk melengkapkan kemenangan bergaya pasukan.

Podolski dalam satu hantaran memberitahu bahawa beliau terkejut dengan kemampuan kaki kirinya yang masih berbisa.

“Saya rasa kaki kiri saya masih berfungsi,” jelasnya dalam satu hantaran di tiktok.

Beliau telah menjaringkan dua gol dan enam bantuan gol buat pasukan dalam 12 penampilan liga musim ini.