Kalahkan KL City, Perasaan Kim Pan-gon Bercampur-Baur
MakanBola
Selangor FC

Pengendali Selangor, Kim Pan-gon mengakui berasa gembira dan terkilan ketika melihat pasukannya berhasil mengalahkan KL City dalam aksi Liga Super pada Ahad.

Pertemuan KL City dan Selangor menyaksikan kemenangan 3-2 memihak Gergasi Merah apabila Faisal Halim, Mamadou Diarra dan Hugo Boumous masing-masing meledak jaringan.

Tuan rumah sempat bangkit menjaringkan dua gol menerusi Edgar Gomis serta Safawi Rasid di penghujung perlawanan namun itu tidak cukup untuk menghalang kemenangan buat Selangor.

Kim Pan-gon yang ditemui selepas perlawanan berkata, aksi di Cheras ini memaparkan permainan yang cukup baik oleh para pemain Selangor dengan 3 gol yang berjaya dihasilkan.

“Secara keseluruhan, ini adalah satu perlawanan yang sangat baik. Kami bermula dengan cemerlang apabila menjaringkan gol awal. Pada separuh masa kedua, kedudukan menjadi 2-0, kemudian 3-0.”

Prestasi cemerlang Selangor mendapat pujian Kim Pan-gon namun jurulatih berusia 57 tahun itu akui tidak berpuas hati apabila gawang pasukannya dibolosi sebanyak dua kali oleh KL City.

Bekas pengendali skuad negara itu akui pasukannya terlepas peluang untuk merekodkan catatan tanpa bolos pada aksi ini dan mahu perbaiki kesilapan yang terjadi agar tidak berulang di masa hadapan.

“Ini adalah prestasi yang amat baik. Kami berjaya mengawal permainan dan kami menang, namun kami melepaskan dua gol dan perkara itu membuatkan saya tidak berpuas hati,” ujar Kim Pan-gon selepas aksi tamat.

“Saya rasa kami perlu memastikan gawang tidak dibolosi. Kami perlu memperbaiki di bahagian ini,” tambah jurulatih dari Korea Selatan itu lagi.

Kemenangan 3-2 di Cheras ini meletakkan Selangor kini di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul 42 mata, hanya dua mata di hadapan Kuching City yang kekurangan satu perlawanan.