Selangor terus mengukuhkan cengkaman di posisi kedua liga apabila berjaya menumpaskan KL City dengan keputusan 3-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.
Turun dengan kesebelasan yang mantap, Selangor mempertaruhkan Kalamullah Al-Hafiz sebagai benteng terakhir, manakala Faisal Halim mengetuai pasukan dengan lilitan kapten. Di bahagian serangan, gandingan Alvin Fortes dan Chrigor Moraes menjadi sandaran utama untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
Pasukan tuan rumah KL City pula tidak kurang hebatnya apabila menurunkan Quincy Kammeraad di posisi penjaga gol, sementara Safawi Rasid mengetuai jentera serangan dalam usaha memburu jaringan.
Selangor bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan ke arah gawang The City Boys pada awal babak pertama.
Alvin Fortes melepaskan satu percubaan berbahaya pada awal minit babak pertama namun rembatan tersebut sedikit tersasar dari gawang yang dikawal penjaga gol KL City, Quincy Kammeraad.
Selepas itu, pemain import berbisa KL City, Madger Gomes hampir meletakkan kelab tersebut berada di hadapan namun kecekapan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz harus diberi pujian.
Faisal Halim berjaya membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-29 hasil bantuan Alvin Fortes sekali gus menceriakan ribuan penyokong & kem pasukan The Red Giants yang berada di Cheras.
Jaringan tersebut kekal sehingga penghujung separuh masa pertama meskipun kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor FC.
Memasuki babak kedua, The Red Giants dilihat meningkatkan intensiti permainan dalam usaha memburu gol tambahan, sambil mendapat sorakan padu daripada ribuan penyokong setia di laman lawan.
Chrigor Moraes terus-menerus melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang yang dikawal Quincy Kammeraad namun ketangkasan penjaga gol itu sekali lagi wajar diberikan tepukan.
Mamadou Diarra menambah gol kedua aksi pada minit ke-60 sekali gus memastikan Gergasi Merah mendahului perlawanan dengan 2 jaringan.
Pemain import baharu Selangor, Hugo Boumous berjaya membuka akaun jaringan beliau bersama The Red Giants pada minit ke-70 selepas tiba di Petaling Jaya sejak 20 Januari lalu.
Dua jaringan KL City menerusi Madger Gomes & Safawi Rasid pada penghujung separuh masa kedua gagal mengikat pasukan Selangor selepas aksi tamat dengan keputusan 3-2 memihak kepada pelawat, Selangor FC.
Keputusan ini menyaksikan Selangor FC berada di tangga kedua liga dengan kutipan 42 mata, manakala KL City kekal di tangga keempat dengan 39 mata.