Terengganu FC terlepas peluang menundukkan KL City FC apabila tewas 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Aksi terbaru Liga Super ini dilihat peluang buat Peteh membalas dendam terhadap anak buah Risto Vidakovic. Ini kerana The City Boys bertanggungjawab menyingkirkan Terengganu di peringkat suku akhir Piala Malaysia baru-baru ini.
Bekas bintang Terengganu, Safawi Rasid menjadi nadi kreatif KL City. Penyerang Curacao, Gervane Kastaneer terus menjadi sandaran gol Peteh.
Sebaik wisel ditiup, Terengganu berusaha mencari gol awal menerusi Kastaneer, Akhyar Rashid, Careca dan Baqiuddin Shamsudin.
Terengganu menyangka mereka membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi Kastaneer. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan selepas diperiksa oleh VAR.
Ini kerana VAR mengesan kekasaran yang dibuat kapten Peteh, Shahrul Nizam Ros Hasni ke atas Paulo Josue sebelum melorongkan bola ke hadapan.
Keputusan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati bukan saja pemain tetapi juga penyokong Terengganu. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Peteh meneruskan tekanan ke atas kubu pertahanan KL City tetapi tidak berhasil.
Situasi ini mendorong jurulatih Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan memasukkan Saiful Jamaluddin dan Engku Nur Shakir Engku Yacob.
Tatkala Peteh terus mengasak, KL City mendahului menerusi Madger Gomes pada minit ke-62. Ini gol pertama bekas pemain Leeds United itu bersama The City Boys musim ini.
Tersentak, Terengganu memasukkan pemain sayap Tajikistan, Shervoni Mabatshoev untuk menambah ketajaman jentera serangan pasukan itu.
Gol yang dicari tuan rumah tidak kunjung tiba dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan KL City memintas Selangor FC di tangga kedua dengan 36 mata.
Terengganu pula kekal di tangga kelima dengan 28 mata. Selepas ini, anak buah Tengku Hazman akan menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada 6 Mac.
KL City pula akan turun menentang Melaka FC pada 7 Mac ini.