Piala Malaysia: Dua Gol Lewat KL City Buat Terengganu Tersingkir
MakanBola
KL CITY FC

Piala Malaysia musim 2025/26 menyaksikan KL City FC menewaskan Terengganu FC 2-1 dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Ahad.

Kemenangan tersebut sekali gus memastikan kemaraan The City Boys ke pentas separuh akhir Piala Malaysia musim ini dengan agregat 3-2.

Terengganu FC mempertaruhkan Rahadiazli Rahalim sebagai benteng terakhir, dengan Shahrul Nizam memimpin pasukan selaku kapten. Di bahagian hadapan, gandingan Gervane Kastaneer dan Akhyar Rashid menjadi sandaran utama dalam usaha memburu gol.

KL City FC pula menurunkan Quincy Kammeraad sebagai penjaga gol, Giancarlo Gallifuoco menggalas tanggungjawab kapten, manakala Victor Ruiz diberi peranan utama mengetuai jentera serangan.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan rentak yang pantas bagi memburu jaringan secepat mungkin.

Gol pembukaan berjaya dihasilkan oleh pemain sayap lincah Terengganu FC, Akhyar Rashid di minit ke-20 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti KL City.

KL City turut mencipta beberapa percubaan menerusi Victor Ruiz namun rembatan beliau tersasar jauh dari gawang pasukan Terengganu.

Kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan pada penghujung separuh masa pertama namun tiada gol tambahan ditemui.

Bersambung babak kedua, KL City meningkatkan intensiti permainan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya menerusi pemain gantian, Paulo Josue & Victor Ruiz.

Pada minit ke-78, Victor Ruiz berjaya menyamakan kedudukan 1-1 buat Terengganu FC menerusi satu sentuhan kemas hasil hantaran lintang cantik daripada Kamal Azizi, sekali gus memastikan peluang The City Boys untuk mara ke separuh akhir terus terbuka.

Gol Paulo Josue pada penghujung babak kedua sekali gus memastikan kemaraan pasukan KL City ke pentas separuh akhir Piala Malaysia 2025/26.

Aksi tamat dengan keputusan secara agregat 3-2 memihak kepada pasukan tuan rumah, KL City.

Claim Money Packet TnG