Piala Malaysia: KL City Padam Impian Besar Perak FA
MakanBola
PERAK FA

KL City melayakkan diri ke pentas suku akhir saingan Piala Malaysia musim 2025/26 selepas menundukkan pasukan Perak FA dengan keputusan secara agregat 3-2 dalam aksi pusingan 16.

KL City membariskan Quincy Kammeraad di benteng terakhir dengan Paulo Josue menggalas lilitan kapten manakala Safawi Rasid sebagai ayam tambatan bagi aksi ini.

Sementara itu, Perak FA menurunkan Syazwan Syazany di posisi penjaga gol dengan Daniel Hakimi mengemudi jentera serangan pasukan tersebut.

Bermula sepak mula separuh masa pertama, The City Boys memperagakan aksi agresif dengan mengatur beberapa serangan berbahaya menerusi Safawi Rasid dan Zhafri Yahya bagi memburu jaringan penyamaan agregat selepas tewas dua gol pada perlawanan pertama.

KL City tampak terus menerus mengasak kubu pasukan Perak FA dalam tempoh yang lama bagi mencari gol penyamaan sekali gus menceriakan penyokong-penyokong sendiri di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Zhafri Yahya hampir memberikan gol pembukaan aksi ini pada minit ke-25 namun rembatan kencang beliau berjaya ditepis oleh penjaga gol Perak FA, Syazwan Syazany.

Gorka Larrucea turut melepaskan satu percubaan cantik namun gagal menepati sasaran gawang pasukan Perak FA pada penghujung separuh masa pertama.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan terus meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pembukaan aksi ini.

Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol pembukaan perlawanan menerusi sepakan penalti pada minit ke-56, sekali gus merapatkan jurang agregat.

Safawi Rasid sekali lagi melepaskan satu percubaan berbahaya pada minit ke-76 namun rembatan tersebut gagal menepati sasaran gawang Perak FA.

Perak FA beraksi dengan penuh disiplin dalam mengekang tekanan The City Boys di penghujung babak kedua.

Paulo Josue meledak gol kedua menerusi sepakan percuma yang cantik pada minit ke-90, sekali gus menyamakan kedudukan agregat dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Memasuki masa tambahan pertama, KL City berjaya merobek gol ketiga aksi pada minit ke-105 hasil ledakan berbisa Nicolao Dumitru.

Jaringan tersebut kekal sehingga 120 minit masa tambahan sekali gus melayakkan KL City ke aksi suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur tamat dengan keputusan secara agregat 3-2 memihak kepada pasukan tuan rumah, KL City.

Selepas ini, KL City dijadualkan akan bertemu Terengganu dalam aksi suku akhir saingan Piala Malaysia 2025/26 yang mengesahkan kemaraan terlebih dahulu pada Jumaat selepas menumpaskan UM-Damansara.

Claim Money Packet TnG