Kalahkan Selangor, Jurulatih Buriram United Enggan Dabik Dada
MakanBola
Buriram United

Perasaan ketua jurulatih Buriram United, Mark Jackson bercampur-baur meskipun berjaya mengatasi Selangor dalam aksi final pertama ACC Shopee Cup pada Rabu.

Perlawanan akhir ACC Shopee Cup di Stadium MBPJ terbabit berakhir dengan kemenangan 1-0 untuk Buriram United hasil jaringan tunggal daripada Suphanat Mueanta pada minit ke-25.

Kemenangan tipis tersebut bagaimanapun meranapkan misi Selangor untuk mencari bekalan selesa sebelum terbang ke tempat lawan bagi aksi final timbal balik kedua pada minggu hadapan.

Walaupun hanya menang tipis, Mark Jackson tetap gembira menyaksikan pasukannya meraih kemenangan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di tempat lawan dalam jadual yang padat.

“Ya, sudah tentunya saya gembira dengan kemenangan ini,” komen Mark Jackson ketika sidang media pascaperlawanan.

“Berjaya menang di gelanggang lawan ditambah pula dengan jadual padat yang kami lalui kebelakangan ini.”

Beliau juga sudah menjangkakan aksi penuh sengit di Kelana Jaya ini melihat kepada kualiti yang dimiliki pasukan Selangor selain kekangan waktu rehat buat para pemainnya gara-gara jadual yang padat

“Kami tahu ini akan jadi perlawanan yang sukar kerana lawan kami adalah pasukan yang bagus, tetapi seperti yang saya katakan, juga disebabkan jadual yang kami lalui baru-baru ini dan sepanjang musim.”

Sungguhpun berpuas hati, namun Mark Jackson enggan terlalu mendabik dada kerana beliau yakin masih ada 90 minit yang perlu diharungi di Buriram sebelum kejuaraan menjadi milik mereka.

“Saya amat berpuas hati dengan persembahan para pemain, terutamanya di babak kedua. Mereka benar-benar bekerja keras dan saya berbangga dengan cara mereka mengakhiri permainan.”

“Akan tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, ini baru satu perlawanan, kami ada satu lagi aksi untuk diharungi dan kami perlu fokus serta bersedia menghadapi itu,” ujarnya lagi.

Aksi final kedua ACC Shopee Cup antara Buriram United vs Selangor bakal diadakan pada Rabu, 27 Mei 2026 di Chang Arena dengan sepak mula dijadualkan jam 8 malam waktu Malaysia.