Lagenda bola sepak negara, Zaquan Adha yakin keserasian amat penting dan amat diperlukan sungguhpun memiliki bintang ternama seperti Cristiano Ronaldo.
Beliau dalam satu sesi pra-perlawanan bersama Astro Arena memberitahu bahawa terdapat perbezaan yang dimiliki oleh dua penyerang Terengganu iaitu Ismaheel Akinade dan juga Ivan Mamut.
Namun begitu, bekas tonggak Negeri Sembilan ini secara peribadi lebih tertarik dengan personaliti Ismaheel Akinade.
“Kalau secara peribadi, saya lebih suka Ismaheel Akinade. Setiap pemain ada kelebihan masing-masing. Untuk saya, saya lebih tekankan keseluruhan pasukan untuk bermain.
Sambil itu, bekas penyerang Harimau Malaya itu yakin kudrat seperti Ronaldo juga tidak akan menyerlah sekiranya tidak dapat membentuk keserasian yang baik bersama rakan sepasukan.
“Jika ada penyerang sehebat Cristiano Ronaldo di depan (tapi) jika tak boleh bercampur dengan pasukan, itu juga tidak akan menjadi. Ivan Mamut boleh bercampur dengan pasukan pada pertengahan musim Ismaheel masih belum lagi mendapat rentak bermain.
“Saya rasa pada pertengahan musim nanti, barulah dia akan tunjukkan taringnya yang sebenar bersama pasukan baru dia. Saya lebih kepada pemain memiliki kelebihan masing-masing, yang lebih penting ialah keseluruhan pasukan.
Perkara tersebut sudah dibuktikan oleh bekas penyerang Kelantan itu apabila meledak dua gol bertemu Sabah dalam aksi suku akhir Piala FA 2024.
“Pemain lebih mengetahui bola apa yang dia mahukan, kesefahaman antara dia dengan pemain lain,” jelasnya kepada Astro Arena.
Terengganu bagaimanapun beraksi dengan begitu cemerlang menjelang aksi timbal -balik di Likas pada 6 Julai 2024.