Pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim nyata teruja dengan melihat keadaan terkini Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) yang baru sahaja selesai menjalani proses penambahbaikan.
Bagi Faisal, para pemain kini tiada lagi alasan untuk tidak beraksi dengan baik selepas pihak pengurusan sudah berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik buat pemain.
“Sudah tentu saya rasa bersemangat, dihargai dan terharu apabila pihak pengurusan dan pihak stadium menambahbaik (Stadium MBPJ) walaupun stadium itu tidak begitu besar tapi sebagai pemain, kita cukup rasa bangga.
“Saya rasa semua pemain ada sikap yang sama seperti saya, semua rasa gembira cuma kalau stadium baik, semua dah baik, kalau kita tak dapat nak berikan yang terbaik, kita nak salahkan siapa? Kita perlu salahkan diri sendiri,” luah Faisal ketika ditemubual Makanbola.
Sebelum ini, Jurulatih Selangor, Nidzam Jamil turut mengakui perubahan imej baharu di Stadium MBPJ bakal memberi motivasi buat anak buahnya.
Antara penaiktarafan yang dapat dilihat di Stadium MBPJ ialah kerusi plastik di tempat duduk penonton, pemasangan bumbung di ruang kelompok penyokong fanatik Selangor, UltraSel dan penambahbaikan kawasan balapan.
Penambahbaikan di Stadium MBPJ adalah sangat diperlukan lebih-lebih lagi Selangor bakal beraksi di pentas Asia bagi saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/2025.