Pertahanan kental pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies mengakui bukan satu tugas yang mudah buat mana-mana pemain yang mahu berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Beliau yang kini sudah pun memasuki musim keempatnya bersama Harimau Selatan mengakui bahawa setiap pemain di JDT perlu kekal konsisten untuk terus merebut tempat.
Menurut satu kenyataan kepada Zulhelmi Zainal Azam dan Astro Arena, bekas kapten Sri Pahang ini mengakui bukanlah satu tugas yang mudah apabila terpaksa bersaing dengan pemain yang cukup berkualiti dalam pasukan.
“Ya ia bukanlah satu perkara yang mudah tetapi ia telah menjadi kunci kepada saya (konsisten). Di JDT kita memiliki banyak perlawanan untuk diharungi jadi ia bukanlah mudah.”
“Kamu perlu bekerja keras setiap hari dan menjadi antara pemain yang menyerlah setiap minggu tak kira dalam sesi latihan mahupun semasa bermain,” jelasnya kepada Astro Arena.
Pemain berusia 28 tahun ini menegaskan bahawa mentaliti untuk terus bersaing pada tahap tertinggi amat penting bagi memastikan slot dalam kesebelasan utama terus menjadi rebutan.
“Jika kamu tidak konsisten di JDT, kamu tidak akan bermain,” jelasnya kepada Astro Arena.
Pada musim ini, pemain yang mesra disapa Mat Davies merupakan antara pemain yang mengumpul minit permainan tertinggi apabila beraksi dalam kesemua perlawanan Liga Super sebanyak 933 minit.
Konsistensi beliau pastinya terus ditagih apabila dijadualkan bertemu bekas majikannya, Sri Pahang di laman sendiri.