Advertisements
“Kami Kalah Bola Tinggi” – Rezal Zambery
Liga Super
MakanBola
Kelantan Darul Naim FC

Penolong jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya percaya faktor ketinggian pemain import menjadi punca mereka kecundang kepada Sabah FC baru-baru ini.

Aksi terbaru Liga Super pada 3 November lalu menyaksikan Sang Kijang Emas tewas 4-1 kepada Sang Badak di Stadium Likas.

Joao Pedro, Farhan Roslan dan Gabriel Peres mencipta nama sebagai penjaring tuan rumah. Manakala Kelantan DN meraih gol saguhati menerusi Fazrul Amir Md. Zaman.

Rezal melihat faktor ketinggian pemain import Sabah menyukarkan Kelantan DN bersaing dengan mereka. Ini dibuktikan dengan tiga daripada empat gol mereka dihasilkan menerusi tandukan.

“(Kekalahan ini) sangat-sangat megecewakan. Sabah dapat jaringkan gol mudah. Kita kalah bola tinggi.

“Ketinggian pemain import Sabah satu kelebihan dan mereka menggunakan kelebihan itu untuk menghukum Kelantan Darul Naim FC,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, barisan kejurulatihan Kelantan DN mahu memanfaatkan tempoh kalendar antarabangsa FIFA untuk memperbaiki semua kelemahan terutama di bahagian pertahanan.

Selain itu, mereka juga mahu menguji kombinasi baru membabitkan para pemain dan memberi peluang kepada mereka untuk menggalas peranan dalam kesebelasan utama.

Kelantan DN kini mengalihkan fokus kepada aksi Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya pada penghujung November ini.