“Kami Tahu Semua Tentang JDT” – Jurulatih Buriram United
MakanBola
JST/BUFC

Persiapan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi separuh akhir ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup sudah pun dikaji selengkapnya oleh jurulatih Buriram United, Mark Jackson.

Pertemuan JDT vs Buriram United bakal menjadi perlawanan yang ditunggu ramai tatkala dua kelab terbaik Asia Tenggara ini akan turun merebut tiket final Shopee Cup musim 2025-2026.

Berdasarkan prestasi semasa, JDT dilihat kekal gah apabila mendominasi saingan liga domestik Malaysia sementara itu Buriram United dikejutkan dengan dua kekalahan berturut-turut dalam aksi Thai League One.

Prestasi merudum tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan moral pasukan, sebaliknya Mark Jackson masih percaya para pemain tetap bersedia dan akan memperbaiki kesilapan yang berlaku sebelum ini.

“Tiada sebab keyakinan pemain kami menurun, walaupun dua keputusan terakhir bukan seperti yang kami mahukan,” kata Mark Jackson yang mula membimbing pasukan sejak Oktober lalu.

“Saya percaya setiap pemain sudah sedia sepenuhnya. Kami perlu duduk bersama, mengenal pasti kesilapan berlaku, dan memperbetulkannya.”

Ketika ditanya mengenai kepulangan semula Arif Aiman ke dalam pasukan JDT, beliau menegaskan perkara tersebut sudah diketahui dan kerja menganalisa tidak akan tertumpu kepada seorang pemain sahaja.

“Kami tahu segala-galanya tentang JDT. Kami mempunyai pemain yang bagus serta barisan kejurulatihan yang kuat,” jelas Mark Jackson lagi memetik laporan SNE Sports.

“Kami perlu menganalisis lawan dengan betul. Tiada pasukan bergantung kepada satu individu sahaja khususnya pasukan seperti JDT.”

“Mereka (JDT) adalah pasukan yang sangat baik, tetapi kami perlu menanganinya dengan tenang kerana kami juga sebuah kelab yang bagus.”

Aksi separuh akhir pertama antara JDT vs Buriram United bakal diadakan pada Rabu, 6 Mei 2026 di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8 malam.