Umum mengetahui pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas tewas 4-3 secara agregat kepada Perak FC. Biarpun menang 2-1 pada aksi timbal balik semalam, tetapi secara agregat, keputusan masih memihak kepada Perak yang menang 3-1 pada aksi pertama.
Sudah pasti perlawanan semalam mahu dilupakan segera penjaga gol utama KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz yang membuat kesilapan hingga terhasilnya gol Seo Seonung pada minit ke-84 perlawanan.
Gol tersebut terhasil selepas Kalamullah tidak berjaya menangkap kemas bola dari sepakan percuma dan Seo Seonung menyambar bola muntah itu untuk membawa Perak ke suku akhir.
Pada Januari lalu, pihak media telah menemubual Kalamullah mengenai kewujudan Piala Cabaran MFL musim ini. Piala Cabaran MFL diperkenalkan bagi memberi ruang buat pasukan yang tersingkir awal dari Piala Malaysia untuk terus merasai aksi kompetitif hingga ke penghujung musim.
“Bagi saya sesuatu yang positif tentang Piala Cabaran MFL ini kerana semua pasukan tetap ada peluang untuk terus bermain walaupun terkeluar seawal pusingan pertama.
“Tidaklah sama seperti sebelum ini,apabila mana-mana pasukan tersingkir, mereka tidak ada lagi sebarang perlawanan kompetitif tambahan saingan Piala Malaysia dijalankan selepas Liga Super.
“Piala Cabaran MFL ini juga boleh jadi motivasi perhatian untuk mana-mana pasukan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya satu trofi sekiranya mereka gagal mara jauh dalam pertandingan lain, ” kata Kalamullah Al-Hafiz kepada Harian Metro.
Kata-kata Kalamullah itu kini menjadi realiti apabila pasukan Kedah kini bakal bersaing di Piala Cabaran MFL. Kedah bakal bertemu pasukan yang tewas dalam perlawanan Piala Malaysia yang menemukan Sabah FC dan Kuching City FC.