Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahu anak buahnya belajar daripada pengalaman mereka beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk baki kempen musim 2024/25.
Merah Kuning terlepas peluang layak ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL2 meskipun membelasah Dynamic Herb Cebu 4-0.
Ini kerana pencabar terdekat Selangor dari Thailand, Muangthong United layak selaku naib juara Kumpulan H dengan 11 mata. Ini dicapai dengan menewaskan pasukan K-League 1, Jeonbuk Hyundai Motors di Bangkok dalam satu lagi aksi kumpulan.
Kelebihan satu mata cukup untuk membantu anak buah Gino Lettieri untuk layak dan mengatasi cabaran Selangor yang hanya mengutip 10 mata.
Meskipun tersingkir daripada kejohanan berprestij tersebut, Kinoshi melihat banyak pengajaran yang boleh diambil Merah Kuning. Ini pastinya akan membantu Selangor dalam mendepani baki kempen Liga Malaysia (Liga M) termasuk saingan MFL Challenge Cup.
“Ya, sudah tentu kita tidak layak (ke pusingan 16 terbaik ACL2) disebabkan perlawanan Muangthong dengan Jeonbuk. Tetapi inilah keputusan yang kita dapat.
“Jadi, kita mesti belajar daripada perlawanan sebelumnya. Kita juga bukan saja perlu memiliki motivasi untuk layak (ke Asia) tetapi motivasi besar untuk bermain bola sepak. Jadi, saya tegaskan kepada para pemain untuk fikirkannya.
“Kita mesti memiliki motivasi sebagai pemain dan itu perkara yang paling penting. Fokus kita akan beralih daripada ACL2 kepada perlawanan liga di Malaysia dan perlawanan piala, itu sasaran kita seterusnya,” katanya kepada media semalam.
Fokus Merah Kuning kini beralih kepada saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC pada 9 Disember ini.
Selangor berharap dapat merampas kembali kedudukan kedua dalam liga. Sabah kini menghuni kedudukan tersebut selepas menewaskan Kuching City FC 2-1 pada 4 Disember lalu.