Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahu anak buahnya lebih menyengat menjelang aksi Liga Super menentang Penang FC.
Merah Kuning kini memiliki rekod tanpa kalah sebanyak enam perlawanan dalam semua kejohanan termasuk MFL Challenge Cup. Ini termasuk kemenangan 1-0 ke atas Harimau Kumbang dalam aksi separuh akhir pertama.
Meskipun begitu, Selangor kini hanya menjaringkan dua gol dalam dua aksi terakhir mereka. Dua gol itu dicatatkan semasa mereka menentang KL City FC pada 12 Januari dan Penang (19 Januari).
Atas sebab itu, Kinoshi mahu jentera serangannya lebih garang apabila merobek gawang Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya.
“Saya tetap dengan polisi untuk hanya akan fokus pada perlawanan yang akan mainkan hari ini. Cara ini membuka peluang untuk pasukan dapatkan kemenangan,” katanya.
“Dalam perlawanan sebelum ini menentang Penang FC, pemain telah beraksi dengan baik dari segi pertahanan, tetapi jelas pasukan perlu perbaiki bahagian serangan, dan kami telah berlatih untuk situasi tersebut bagi perlawanan kedua di sini.”
Ini kali ke-130 kedua-dua pasukan bertemu. Daripada 130 pertemuan, 78 daripadanya memihak kepada Selangor dengan 20 aksi lagi berakhir dengan keputusan seri.
Merah Kuning berharap dapat mengulangi pesta gol yang dilakar ke atas lawan sama di Stadium MBPJ pada 27 Julai 2024.
Mukhairi Ajmal, Yohandry Orozco, Alvin Fortes dan Quentin Cheng mencetak nama sebagai penjaring. Rafael Vitor menyumbat gol saguhati buat Penang.