Penyokong Selangor FC bimbang dengan tahap kecederaan yang dialami penyerang Jordan, Ali Olwan.
Ali dilihat mengalami kecederaan lutut dalam aksi terbaru Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 8 Mac lalu.
Ini selepas pemain Kelantan DN, Syahir Rashid bertindak melakukan terjahan keras ke atas penyerang berusia 24 tahun itu pada separuh masa kedua.
Terjahan pemain Sang Kijang Emas itu mencetuskan rasa tidak puas hati kem Merah Kuning terutama pengendali pasukan dari Jepun, Katsuhito Kinoshi.
Ali kemudiannya tidak dapat meneruskan permainan sekaligus memaksa Selangor beraksi dengan 10 pemain. Ini kerana Merah Kuning telah menggunakan semua slot pertukaran pemain.
Apabila ditanya tentang keadaan Ali, Kinoshi mengakui kecederaan bekas penyerang Al-Shamal SC itu kelihatan serius.
“Sudah tentu keputusan 7-0 cukup bagus tetapi malangnya Ali (Olwan) cedera. Jadi, kita perlu fikir tentang perkara itu dengan lebih baik.
“Saya tak tahu lagi, kita kena periksa tetapi ia nampak teruk,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Kecederaan Ali sedikit sebanyak merencatkan kemenangan 7-0 Selangor ke atas Kelantan DN. Perlawanan ini turut menyaksikan Faisal Halim mencipta hatrik pertama bersama Merah Kuning.