Advertising
Selangor Pertahan Tempat Kedua Liga Super, Atasi Kelantan DN
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC mengesahkan status sebagai naib juara Liga Super apabila menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium MBPJ.

Selepas Sabah FC terikat 2-2 dengan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Selangor hanya memerlukan kemenangan untuk mengesahkan status naib juara.

Kelantan DN pula berharap dapat mengelak tewas kepada Merah Kuning buat kali keempat. Ini kerana Sang Kijang Emas telah kecundang sebanyak tiga kali kepada lawan sama untuk musim 2024/25.

Ad

Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim dipilih beraksi dalam kesebelasan utama Selangor. Hakimi Abdullah diberi tanggungjawab memimpin Kelantan DN.

Selangor tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi Faisal.

Ad
Ad

Faisal pantas menyudahkan hantaran kapten, Safuwan Baharudin yang menewaskan penjaga gol Kelantan DN, Alfaiz Zula’amin. Ini jaringan pertama beliau sejak aksi menentang PDRM FC pada 17 Disember 2023.

Ad

Harith Haiqal Adam Afkar hampir menggandakan kelebihan Merah Kuning pada minit ke-23. Malangnya, percubaan bek tengah Harimau Malaya itu melepasi palang.

Quentin Cheng menambah keceriaan penyokong Selangor menerusi gol cantik tujuh minit selepas itu.

Sang Kijang Emas makin derita apabila Faisal menyumbat gol ketiga Selangor pada minit akhir babak pertama. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kelantan DN membuat beberapa pertukaran pemain untuk memperkemaskan rentak permainan mereka.

Antara pemain yang dimasukkan Rezal Zambery Yahya ialah Fikri Che Soh dan Ahmad Amjad Huzeny. Selangor pula memasukkan pemain pertahanan Jordan, Mohammad Abualnadi.

Harith Haiqal memastikan Merah Kuning mendahului 5-0 menerusi gol pada minit ke-54 dan 56.

Faisal mencipta hatrik apabila mudah menyempurnakan hantaran pemain gantian, Mukhairi Ajmal pada minit ke-66.

Seorang lagi pemain gantian, Aliff Izwan Yuslan memastikan kelebihan Merah Kuning makin selesa menerusi gol ketujuh pada minit ke-73.

Selangor kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Ali Olwan diusung keluar pada minit ke-81. Penyerang Jordan itu terpaksa dikeluarkan selepas menjadi mangsa terjahan keras Syahir Rashid.

Selangor terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kemenangan terbesar Merah Kuning dalam musim 2024/25.

Selangor mempertahankan kedudukan tempat kedua buat tahun kedua berturut-turut dengan 46 mata. Kelantan DN pula kekal di tangga ke-13 dengan tujuh mata.

Selepas ini, Selangor akan menentang Kuching City FC pada 16 Mac. Kelantan DN pula bersiap sedia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 April.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments