Kecederaan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim meresahkan pengendali pasukan itu, Badrul Afzan Razali.
Rahadiazli dilihat tidak dapat meneruskan permainan selepas mengalami kecederaan pada babak pertama aksi Liga Super antara Peteh dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 25 Januari lalu.
Kecederaan tersebut menyebabkan Badrul memasukkan Syed Nasrulhaq Syed Bidin sebagai penjaga gol gantian pada separuh masa kedua aksi berkenaan.
Meskipun lama tidak beraksi, Syed Nasrulhaq memastikan Terengganu hanya tewas 1-0 kepada Harimau Selatan. JDT meraih kemenangan 1-0 menerusi gol separuh masa pertama Juan Muniz.
“Abe (Rahadiazli) mengalami kecederaan pada separuh masa pertama. Kita keluarkan Abe dan masukkan Syed (Nasrulhaq),” kata Badrul dalam sidang media pasca-perlawanan.
“Ya, kita tahu Syed lama tidak bermain tetapi beliau menunjukkan persembahan menyakinkan pada aksi malam ini (semalam).”
Badrul berharap kecederaan yang dialami Rahadiazli tidak serius. Ini kerana Terengganu bakal berdepan dua aksi penting pada awal Februari ini.
Selain aksi separuh akhir kedua Unifi Piala Malaysia menentang JDT pada 1 Februari, Peteh juga bakal berdepan BG Pathum United di Thailand pada 5 Februari.
“Saya akan tanya doktor dahulu. Saya pun tak pasti apa kecederaan Abe. Kita akan melihat sama ada Abe dapat main dalam perlawanan seterusnya atau tidak,” tambahnya.
Seandainya Rahadiazli terpaksa disisihkan, Badrul tidak menolak kemungkinan memanggil dua penjaga gol Terengganu II sebagai sokongan kepada Syed Nasrulhaq.
Ini kerana seorang lagi penjaga gol, Suhaimi Husin kini berehat panjang selepas mengalami kecederaan ligamen medial kolateral (MCL) dan koyakan pada bahagian meniskus.
“Kita kena ambil risikolah, hanya ada Syed seorang. Lepas itu, kita akan panggil (penjaga gol) dari TFC II untuk sokong Syed. Tapi apa pun, saya harap Abe tidak mengalami kecederaan serius,” ujarnya.
Peteh kini menduduki tangga keempat liga dengan 24 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.