Piala Malaysia: Kedah Darul Aman Belasah Kelantan United Di Kota Bharu
Dunia
Kedah Darul Aman FC
Advertisements

Perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia menemukan tuan rumah Kelantan United berdepan pasukan gergasi dari utara tanah air, Kedah Darul Aman FC. Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Kedah dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan dengan beberapa siri serangan dari pasukan Kedah. Peluang keemasan pasukan Kedah hadir pada minit ke-10 apabila satu hantaran lintang dari Rabih Ataya tepat ke kepala Syazwan Zainon namun tandukannya melambung tinggi walaupun penjaga gol Kelantan United, Fikri Che Soh sudah pun tertewas.

Pada minit ke-14 pasukan Kedah dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Kelantan United, Hariz Kamaruddin. Kpah Sherman yang mengambil sepakan itu gagal menyermpurnakannya selepas sepakannya diselamatkan Fikri di gawang Kelantan United.

Advertisements

Perlawanan terus didominasi oleh pasukan Kedah FC dengan serangan bertali arus. Kedah hampir mendahului pada minit ke-23 melalui Baddrol Bakhtiar namun rembatannya ditepis penjaga gol dan susulan yang tidak begitu baik oleh Kpah Sherman.

Pada minit ke-29, Kelantan United mendapat peluang keemasan melalui Syahrul Azwari namun rembatannya lemah dan mudah ditangkap Ilham Amirullah di gawang Kedah.

Kedah akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-34 selepas Syazwan Zainon mempamerkan skil individu yang tinggi dengan menggelecek dua pertahanan Kelantan United dan membuat satu rembatan mudah sekaligus menewaskan penjaga gol. Kedah mendahului pasukan tuan rumah 1-0.

Advertisements

Belum sempat pasukan Kelantan United mengatur serangan, Kedah menambah derita tuan rumah pada minit ke-36 selepas Baddrol Bakhtiar mudah menyempurnakan peluang terhidang hasil ‘assist’ menarik dari Asnan Ahmad. Kedah melebarkan kedudukan menjadi 2-0.

Separuh masa pertama ditamatkan dengan pasukan Kedah mudah mendahului Kelantan United dengan kedudukan 2-0.

Bersambung separuh masa kedua, Kelantan United membuat beberapa pertukaran untuk mencari gol dengan Fitri Omar dan kapten pasukan, Badhri Radzi dikeluarkan.

Advertisements

Kelantan United bermula garang di separuh masa kedua dengan beberapa gerakan merbahaya namun kekebalan benteng Kedah FC yang diketuai Renan Alves berjaya menggagalkan setiap gerakan Kelantan United.

Pada minit ke-61, Asnan Ahmad hampir menggandakan kedudukan buat Kedah namun rembatan derasnya melewati palang gol. Selepas itu Kpah Sherman juga terlepas peluang pada minit ke-65 selepas rembatan lemahnya mudah ditangkap Fikri.

Kelantan United akhirnya berjaya merapatkan kedudukan menjadi 2-1 pada minit ke-73 selepas Fakhrul Zaman menjaringkan gol melalui sepakan percuma menarik yang mengelirukan Ilham Amirullah yang jarang diuji sepanjang perlawanan.

Advertisements

Tersentak dengan gol itu, pasukan Kedah menggandakan asakan dan membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Fayadh Zulkifli, Tchetche Kipre dan Azamuddin Akil.

Kedah dilihat semakin rancak menyerang melalui larian pantas dari Fayadh Zulkifli yang berada di bahagian sisi kanan dan kiri. Hasilnya, pada minit ke-83 Fayadh menguatkan cengkaman Kedah selepas menyempurnakan hantaran menarik dari Azammudin Akil sekaligus menjadikan kedudukan 3-1 memihak Kedah.

Perlawanan ditamatkan dengan Kedah menewaskan Kelantan United 3-1. Selepas ini Kedah akan bertandang ke Stadium Hang Jebat untuk menentang Melaka United pada 9 November.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram