Advertisements
Kedah Mula Langkah Kanan, Belasah Skuad Muda Penang
Liga Super
MakanBola
KDA FC

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membuka kempen pra-musim dengan langkah kanan apabila menewaskan skuad Penang FC Bawah 23 Tahun (B-23) malam tadi.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti ini menggamit perhatian ramai. Lebih 1,500 orang penyokong turun memberi sokongan kepada Sang Kenari.

Kedah yang menampilkan ramai tonggak utama seperti Sony Norde, Syafiq Ahmad dan Rizal Ghazali tidak menunggu lama membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi Akmal Zahir.

Tersentak, skuad muda Penang yang dibimbing Manzoor Azwira Abdul Wahid cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan. Bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Kedah yang dibimbing Nafuzi Zain mula meningkatkan tekanan ke atas pelawat.

Sang Kenari akhirnya berjaya menambah gol kedua menerusi pemain pertahanan, Loqman Hakim Marzuki pada minit ke-58.

Rizal dan Syafiq memastikan kemenangan tuan rumah dalam genggaman dengan masing-masing menyumbat gol ketiga dan keempat pada minit ke-84 dan 86.

Selain perlawanan pra-musim menentang skuad Penang FC B-23, Kedah juga bakal menyertai kejohanan empat sebelah yang diadakan di Kuala Terengganu, Terengganu pada bulan hadapan.

Selain Kedah, kejohanan ini turut menampilkan Terengganu FC dan Terengganu II serta Penang FC.