Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir ke separuh akhir Shopee Cup selepas cemerlang membelasah Shan United.
Aksi minggu ke-4 Shopee Cup menemukan JDT dan Shan United di Stadium Sultan Ibrahim dengan skuad Harimau Selatan turun dengan misi penting untuk meraih 3 mata di laman sendiri.
Misi tersebut terlaksana dengan jayanya selepas 3 gol dalam tempoh 5 minit oleh Bergson dan Oscar Arribas memberikan kemenangan ke-3 buat JDT bagi kempen Shopee Cup pada musim ini.
Kemenangan bergaya 3-0 ini meletakkan JDT di kedudukan teratas kumpulan B untuk sementara waktu dengan kutipan 10 mata, satu mata di hadapan pasukan pencabar, Nam Dinh.
Kedudukan ini berkemungkinan besar berubah berdasarkan keputusan perlawanan antara Nam Dinh vs Lion City Sailors yang akan berlangsung pada sebelah malam.
Berdasarkan kedudukan semasa, JDT dilihat sudah semakin hampir ke separuh akhir tatkala menanti keputusan aksi di venue lain dan perlawanan terakhir kumpulan berdepan Nam Dinh minggu hadapan.