Skuad wanita Malaysia B-19 terpaksa akur dengan kehebatan Thailand dalam aksi kedua Kumpulan B Kejohanan Wanita B-19 AFF.
Kedua-dua pasukan memburu kemenangan agar dapat mencerahkan peluang layak ke separuh akhir selaku juara kumpulan.
Gandingan Kaseh Carlmila Az-Zahra dan Ku Nuwairah Ku Mahadzir terus menjadi pilihan Cameron Ng untuk merobek gawang Thailand.
Thailand membuktikan status mereka selaku pasukan pilihan apabila mendahului seawal minit kedua menerusi Nachanok Kosonsaksakun.
Keceriaan kem Thailand hanya bertahan selama seminit. Kaseh Carlmila kemudiannya menyamakan kedudukan buat Malayan Tigress B-19 dengan menolak bola ke arah gawang Thailand yang kosong.
Kurisara Limpawanich kembali meletakkan Thailand di hadapan pada minit ke-15. Skuad negara ditimpa malang apabila Arecha Efandi tertolak bola ke gawang sendiri 14 minti selepas itu.
Thailand terus mempertahankan kelebihan tiga gol mereka sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, anak buah Cameron berusaha merapatkan jurang gol dengan harapan dapat meraih keputusan seri.
Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, Thailand terus melebarkan kelebihan mereka dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-53.
Skuad negara makin derita apabila juara edisi 2023 itu menyumbat gol kelima pada minit ke-70. Ini disusuli gol keenam dan ketujuh pada minit ke-86 dan 90.
Keputusan 7-1 ini menyaksikan Thailand menjadi pasukan pertama Kumpulan B mara ke peringkat separuh akhir. Pasukan itu kini hanya perlu seri atau menang agar dapat mara sebagai juara kumpulan.
Anak buah Cameron kini perlu menang ke atas Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan pada 13 Jun. Ini kerana hanya kemenangan yang menjamin tempat mereka ke separuh akhir.