Skuad wanita Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) membuka kempen Kejohanan Wanita B-19 AFF 2025 dengan langkah kanan apabila membelasah Kemboja 4-0.
Kedua-dua pasukan berharap dapat membuka kempen Kumpulan B dengan kemenangan. Selain itu, anak buah Cameron Ng melihat ini peluang untuk memperbaiki pencapaian edisi 2023.
Pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Lauren Hoh Ruyi menggalas peranan sebagai kapten.
Separuh masa pertama menyaksikan Malayan Tigress B-19 berusaha mencari gol pendahuluan menerusi penyerang Selangor FC, Kaseh Carlmila Az Zahra.
Gol yang dicari skuad negara muncul pada minit ke-13 menerusi Ku Nuwairah Ku Mahadzir. Ku Nuwairah melepaskan sepakan deras yang gagal diselamatkan penjaga gol Kemboja, Srong Nas.
Kaseh Carlmila hampir menggandakan kelebihan Malayan Tigress B-19 pada minit ke-25. Malangnya, cubaan beliau menolak bola ke arah gawang Kemboja yang kosong terkena tiang.
Kaseh Carlmila kemudiannya menebus kekecewaannya 13 minit selepas itu. Rembatan deras penyerang Merah Kuning itu gagal diselamatkan Nas sebelum menerjah jaring.
Kemboja cuba bangkit merapatkan jurang jaringan. Walau bagaimanapun, keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, anak buah Cameron terus menggandakan serangan bagi mendapatkan gol tambahan.
Hasilnya, Ku Nuwairah sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring. Selepas berjaya melepasi pertahanan Kemboja, penyerang Selangor itu menewaskan Nas untuk gol kedua peribadinya.
Kemboja membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat menyekat skuad negara daripada menyumbat gol tambahan.
Malangnya, itu tidak berlaku. Kaseh Carlmila menyumbat gol keempat Malayan Tigress B-19 pada minit ke-70 selepas berjaya melepasi pertahanan lawan.
Malayan Tigress B-19 terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia menduduki tangga kedua kumpulan di belakang Thailand.
Thailand menerajui Kumpulan B selepas membelasah Indonesia 6-0 dalam satu lagi aksi kumpulan. Selepas ini, Malaysia akan menentang Thailand pada 11 Jun.