Ketibaan bulan Ramadan mendorong kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brentford untuk menjemput seorang imam datang ke pusat latihan mereka baru-baru ini.
Kehadiran Abdus Samad Abdellaoui, seorang imam dari Persatuan Islam Kingston di Pusat Prestasi Robert Rowan dikongsikan The Bees menerusi satu hantaran di X.
Inisiatif ini digerakkan oleh pengurus Brentford, Thomas Frank dengan sokongan Persatuan Pemain Profesional (PFA) menerusi wakil mereka, Riz Rehman.
Menurut Rehman, inisiatif ini digerakkan bagi membantu staf kejurulatihan dan pemain memahami aspek latihan, pemakanan, penghidratan dan pemulihan semasa bulan Ramadan.
“Thomas (Frank) menyatakan minat kepada kita (PFA) untuk melihat jika seorang imam boleh dijemput datang ke kelab.
“Kita duduk secara individu dengan setiap pemain dan mereka semua memberi maklum balas menggalakkan. Mereka berkongsi tentang perkara yang amat penting buat mereka,” katanya.
Sementara itu, Abdus Samad menyifatkan jemputan tersebut sebagai sesuatu yang bermakna. Ini kerana beliau dapat membantu pemain dan staf kejurulatihan menjawab isu yang bermain dalam fikiran mereka seperti kerohanian dan hukum-hakam agama.
The Bees memiliki beberapa pemain beragama Islam baik dalam skuad utama mahupun skuad Brentford B.
Antaranya ialah penyerang Republik Demokratik Congo, Yoane Wissa, Saman Ghoddos (Iran), Yunus Emre Konak (Turki) dan Mukhammadali Urinboev (Uzbekistan).