Kelab Kemboja, Phnom Penh Belasah Wakil Australia Tanpa Belas Kasihan
MakanBola
AFC Cup

Kelab Kemboja, Phnom Penh Crown mencipta kejutan terbesar dalam Piala AFC apabila menewaskan kelab A-League, Macarthur semalam.

Walaupun Macarthur hanya menurunkan barisan simpanan kerana mengambil kira perlawanan A-League pada Ahad ini, mereka masih lagi satu pasukan yang kuat.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Red Singha memilih formasi 5-4-1 dengan tujuan mengehadkan pergerakan serangan The Bulls.

Formasi ini memberi kelebihan kepada tuan rumah untuk memburu gol awal pada babak pertama. Bagaimanapun, keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Phnom Penh terus memberi tekanan kepada wakil Australia itu untuk memburu gol pendahuluan.

Akhirnya, pada minit ke-76, Red Singha mendahului menerusi penyerang Jepun, Shintaro Shimazu.

Pemain gantian, Thiva Brak menjadi arkitek untuk dua gol Phnom Penh seterusnya. Pertama, gol Shimazu pada minit ke-86.

Dan yang kedua, gol yang dijaringkan pemain gantian Phach Socheavila pada minit akhir perlawanan. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Shimazu yang menjadi duri dalam daging kepada Macarthur dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Perlawanan tersebut menyaksikan beliau mendapat 8.4 mata.

Keputusan ini meletakkan Red Singha kekal dominan sebagai pendahulu Kumpulan F dengan sembilan mata. Sementara The Bulls mengekori di belakang dengan enam mata.