Bekas penyerang hoki Malaysia, Faizal Saari mendedahkan kelab Oman, Al-Nasr masih belum melunaskan tunggakan gaji beliau.
Perkara ini dikongsikan beliau menerusi satu hantaran di Facebook. Faizal turut memaklumkan isu tersebut kini sudah berlarutan selama empat bulan.
“Kepada pasukan hoki Al-Nasr di Oman, sila ambil tanggungjawab tentang tunggakan gaji kami. Tunggakan ini sudah masuk empat bulan. Ini sesuatu yang memalukan!” katanya.
Faizal bukan satu-satunya pemain yang berdepan isu sama. Beliau turut mendedahkan penyerang Korea Selatan, Jang Jong-hyun juga belum menerima tunggakan gaji daripada Al-Nasr.
Sebaik hantaran itu dimuat naik, pemain hoki Australia, Kieran Govers turut berkongsi pengalaman beberapa rakan senegara yang berdepan masalah tunggakan gaji dengan kelab sama.
“Mereka (Al-Nasr) turut berhutang duit (tunggakan gaji) dengan rakan-rakan saya,” katanya di ruang komen.
Faizal baru-baru ini mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa. Beliau merekodkan 302 penampilan dan 176 gol buat The Speedy Tigers.
Keputusan itu dibuat Faizal selepas membantu Terengganu Hockey Team (THT) muncul juara TNB Cup 2025.