Kelab Sepanyol Bakal Uji JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelab divisyen tiga Sepanyol, FC Cartagena bakal menjadi lawan pemanas badan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk pramusim 2026/27.

Ini selepas kelab yang diberi jolokan La Cebra itu mengumumkan aksi persahabatan menentang Harimau Selatan di Estadio Cartagonova pada 31 Julai ini.

Perlawanan ini juga menjadi petanda bahawa JDT bakal menjalani pramusim di Sepanyol buat tahun kedua selepas melakukannya pada 2025.

Pramusim tahun itu menyaksikan JDT mengharungi lapan perlawanan pemanas badan. Antara pasukan yang dihadapi anak buah Xisco Munoz pada ketika itu ialah Cardiff City, Levante, Al-Rayyan SC dan Al-Arabi SC.

Lebih menarik, dua bekas pemain Cartagena berpeluang menentang kelab lama mereka jika diturunkan dalam perlawanan berkenaan. Dua pemain tersebut ialah Hector Hevel dan Oscar Arribas.

Arribas pernah beraksi bersama La Cebra selama enam bulan sebelum menyertai Harimau Selatan pada Januari 2023. Hevel juga beraksi selama enam bulan di Estadio Cartagonova sebelum berkelana ke China pada Januari 2024.

Selain Cartagena, satu lagi aksi pramusim yang disahkan ialah pertembungan JDT dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea. Aksi itu akan berlangsung pada 9 Ogos ini.

Aksi ini juga dilihat memberi peluang kepada bek tengah baharu JDT, Kevin Medina menentang Chelsea buat kali kedua. Sebelum ini, beliau pernah berentap dengan The Blues dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) ketika bersama Qarabag FK.