Kevin Medina Berpeluang Lawan Chelsea Lagi
MakanBola
JST/QFK

Pemain pertahanan baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kevin Medina berpeluang menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea sekali lagi.

Ini kerana seandainya beliau diturunkan dalam aksi persahabatan kedua-dua pasukan itu pada 9 Ogos ini, ini kali kedua Medina menentang juara Piala Dunia Kelab 2025 itu.

Sebelum ini, bek tengah berusia 33 tahun itu pernah menentang Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 6 November 2025 ketika mewakili Qarabag FK.

Qarabag nyaris memalukan The Blues sebelum terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2. Selepas ketinggalan menerusi gol Estevao, tuan rumah bangkit mendahului menerusi Leandro Andrade dan penalti Marko Jankovic.

Chelsea yang ketika itu dibimbing Enzo Maresca meraih gol penyamaan menerusi bekas bintang Manchester United, Alejandro Garnacho pada separuh masa kedua.

Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Medina pula mendapat markah 6.8 daripada Sofascore selepas berjaya mengikat jentera serangan The Blues diketuai Tyrique George dan Joao Pedro ketika itu.

Kini, Chelsea bangkit mengharungi musim baru dengan legenda Liverpool, Xabi Alonso mengisi kerusi panas di Stamford Bridge. Pasukan itu turut diperkuatkan dengan kehadiran beberapa muka baru seperti Marco Palestra, Geovany Quenda dan Emannuel Emegha.

Medina pula antara empat muka baru yang menyertai JDT setakat ini. Selain beliau, Brad Tapp, Dejan Petrovic dan Shahab Zahedi turut menyertai kelab gergasi selatan tanah air itu.

Sejarah Medina dengan Chelsea dijangka menambah rencah pertembungan JDT dan kelab London itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Ogos ini.

Penyokong yang berminat menghadiri perlawanan tersebut boleh mendapatkan tiket di platform TicketHotline.