Sebuah kelab Venezuela dilaporkan berminat mendapatkan khidmat bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio.
Selepas meninggalkan JDT pada akhir musim 2024/25, ramai penyokong ingin tahu destinasi jurulatih berusia 57 tahun itu.
Kini, wartawan sukan Venezuela, Mario Alberto Sanchez melaporkan nama Bidoglio dalam radar Deportivo La Guaira.
Sanchez turut melaporkan bekas jurulatih SD Aucas itu semakin hampir memuktamadkan perjanjian sebagai pengganti jurulatih, Juan Domingo Tolisano.
Bekas juara liga musim 2020 itu berharap sentuhan Bidoglio dapat membantu pasukan itu mengakhiri kemarau kejuaraan liga selama enam musim.
Sekiranya beliau menyertai La Guaira, beliau perlu merancang kempen Liga FUTVE tanpa ayam tambatan, Keiber Lamadrid. Ini kerana pemain berusia 22 tahun itu akan menyertai West Ham secara pinjaman sehingga akhir musim ini.
Selain itu, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) juga memiliki pilihan untuk menukar perpindahan Lamadrid daripada pinjaman kepada perpindahan tetap.
Sepanjang bersama JDT, Bidoglio telah meraih pelbagai trofi termasuk Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA. Beliau turut membantu pasukan itu layak ke pusingan kedua ACLE musim lalu.