Skuad wanita Malayan Tigress B-17 memulakan kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-17 dengan langkah kanan selepas membelasah Kepulauan Mariana Utara 5-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A hari ini. Rocillyeka Lole mencuri tumpuan penyokong dengan menyumbat lima gol untuk Malayan Tigress.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Buriram City menyaksikan kedua-dua pasukan turun dengan motivasi berbeza. Anak-anak buah Petronella Downy turun dengan misi mengutip tiga mata dengan Kepulauan Mariana Utara pula mahu menebus maruah selepas dimalukan 11-1 dengan tuan rumah, Thailand.
Justeru, tidak hairanlah sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan mula memburu gol pembukaan. Tetapi Malayan Tigress dilihat lebih kerap mengancam kubu pihak lawan.
Dan hasilnya, Malayan Tigress membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi penyerang Sabah itu. Tersentak, Kepulauan Mariana Utara cuba bangkit memburu gol penyamaan. Kesungguhan mereka berhasil apabila Kaithlyn Chavez membolosi gawang negara yang dikawal penjaga gol Daliea Eliesa Mohd Hafiz pada minit ke-29.
Bagaimanapun, keceriaan pasukan itu tidak bertahan lama. Enam minit kemudian, Rocillyeka sekali lagi menceriakan kem negara dengan gol kedua peribadinya. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan Malayan Tigress menggandakan asakan bagi menambah kelebihan tipis yang dimiliki. Rocillyeka hampir mencipta hatrik pada minit ke-69 selepas berjaya melepaskan diri daripada pertahanan Kepulauan Mariana Utara tetapi berjaya disekat penjaga gol lawan.
Tetapi hatrik yang diinginkan Rocillyeka akhirnya tercapai pada minit ke-79. Sepakan gol yang diambil penjaga gol Kepulauan Mariana Utara terkena belakangnya sebelum Rocillyeka menolak bola ke dalam gawang lawan yang kosong.
Pasukan lawan terus tergamam apabila dua kali dibolosi lagi penyerang Sabah itu pada minit ke-83 dan 89. Keputusan 5-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini membolehkan anak-anak buah Petronella menduduki tangga kedua kumpulan dengan tiga mata. Selepas ini, Malayan Tigress akan bersemuka dengan Thailand untuk perlawanan terakhir kumpulan bagi menentukan siapa yang layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 pada September ini.
Bagaimanapun, Rocillyeka mengalami kecederaan beberapa minit sebelum perlawanan berakhir. Petronella pasti berharap penyerang Sabah itu sempat pulih sebelum perlawanan menentang Thailand pada 30 April ini.