Kelayakan Piala Dunia: Singapura Tewas Di Laman Sendiri Kepada Thailand
Piala Dunia
FA Singapore
Advertisements

Aksi Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026 diteruskan dengan pertembungan dua pasukan Asia Tenggara iaitu Singapura yang melayan kunjungan Thailand di Stadium Nasional Singapura sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terbaik demi mencapai kemenangan sulung dalam kempen kelayakan ini.

Perlawanan dimulakan dengan Thailand terlebih dahulu menguji penjaga gol Singapura, Hassan Sunny seawal minit pertama melalui Supachok Sarachat namun berjaya diselamatkan.

Advertisements

Thailand tidak perlu menunggu lama untuk mendahului tuan rumah apabila pada minit ke-5, Supachok yang menerima hantaran dari Ekanit Panya mudah menewaskan penjaga gol Singapura untuk menjadikan kedudukan 1-0 memihak Thailand.

Singapura membuat pertukaran awal apabila membawa masuk pemain sayap lincah mereka, Shawal Anuat bagi menggantikan Shahdan Sulaiman.

Ternyata kemasukan Shawal membuahkan hasil buat Singapura apabila pemain Lion City Sailors itu berjaya meledak pada minit ke-41 hasil umpanan Song Ui-yong.

Advertisements

Separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan terikat 1-1.

Bersambung babak kedua, Thailand pula membawa masuk pemain versatil mereka, Kritsada Kaman dan Teerasil Dangda dalam usaha mereka menambah jaringan.

Strategi Mano Polking itu nyata berjaya selepas pada minit ke-66, Teerasil Dangda membuat satu lorongan menarik kepada Suphanat Mueanta. Pemain yang berkelana di Belgium itu dengan tenang menyudahkannya untuk gol kedua Thailand.

Advertisements

Ketinggalan 1-2, Singapura menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Kapten Singapura, Hariss Harun berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-75 hasil percubaan dari luar kotak penalti namun percubaannya tersasar.

Ketika Singapura sedang rancak menyerang, Thailand berjaya mengambil kesempatan untuk menambah jaringan pada minit ke-87 hasil penyudah Suphanat untuk kali kedua dalam perlawanan ini. Thailand di hadapan 3-1.

Advertisements

Singapura meneruskan usaha mereka untuk menambah jaringan manakala pemain Thailand hanya menunggu waktu sesuai bagi melancarkan serangan balas.

Tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan dan pengadil menamatkan perlawanan selepas 5 minit masa tambahan.

Dengan kemenangan ini, Thailand memintas China untuk berada di kedudukan kedua Kumpulan C dengan mengumpul 3 mata. China turut mengumpul mata yang sama namun dibezakan dengan jumlah jaringan yang memihak Thailand. Manakal Singapura kekal di tangga terbawah tanpa mata.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram