Pertemuan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal melayan kunjungan Selangor FC bagi aksi minggu ini dihiasi dengan ketiadaan kelibat dua orang pemain import pasukan.
Anak didik Tano Solari kini dalam momentum terbaik untuk meneruskan rentak cemerlang selepas menjulang Piala FA tempoh hari.
Skuad Harimau Selatan juga berpeluang untuk melebarkan kedudukan di puncak liga bagi aksi ke-18 berdepan The Red Giants.
Pertemuan penting ini bagaimanapun dikejutkan dengan ketiadaan dua pemain import pasukan iaitu Fernando Forestieri dan juga Diogo Luis Santo.
Kehilangan Forestieri sudah pasti memberi tamparan hebat kepada pasukan selepas beliau memainkan peranan yang cukup besar pada musim ini.
Pemain berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan pada aksi final tempoh hari tatkala kelibatnya tidak kelihatan menjalani latihan akhir semalam.
Beliau juga merupakan pendahulu penjaring terbanyak Liga Super setakat ini dengan 15 gol.
Ketiadaan Diogo Luis sudah pun dijangka seleas DYAM TMJ memaklumkan bahawa khidmat pemain ini terpaksa diketepikan selama beberapa bulan akibat kecederaan.
Ini sekaligus bakal membuka ruang kepada penyerang baharu JDT, Heberty Fernandes untuk melakukan debut bersama JDT.
Peluang terbaik juga hadir buat pemain serangan tempatan JDT dalam usaha menambat hati Solari untuk terus memberi kepercayaan.
JDT kini dipisahkan dengan 11 mata dengan pasukan tangga kedua, Selangor yang turut menerima tamparan hebat tanpa pemain tunjang utama, Faisal Halim yang mengalami penggantungan.