Sesi latihan Kuching City nampaknya sudah mula disertai oleh pemain baharu.
Persiapan rapi sedang diatur oleh pasukan Kuching City bagi menghadapi baki perlawanan Liga Super selepas cemerlang menghuni kedudukan kedua di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini.
Di sebalik persiapan ini, kelibat pemain baharu telah dikesan oleh para peminat The Cats ketika sesi latihan baru-baru ini sekaligus menimbulkan rasa teruja mengenai penambahan baharu itu.
Sekeping gambar yang dimuat naik minggu lalu menyaksikan kelibat pemain yang kelihatan asing muncul di belakang Presiden Kuching City, YB Dato’ Fazzrudin dan diulang siar oleh laman peminat, LO Bola.
”Cuba tengok gambar. Fuh ada seseorang,” tulis LO Bola merujuk kepada foto tersebut.
Sekilas pandang, pemain tersebut dilihat memiliki rupa paras menyerupai bekas pertahanan Kedah Darul Aman FC, Ariff Farhan, yang sebelum ini beraksi bersama Penang sejak awal musim.
Walaupun masih belum ada sebarang pengumuman daripada Kuching City, namun nama Ariff Farhan pernah disebut bakal memperkuat The Cats sebagai salah satu pertukaran pemain bersama Penang.
“Pemain sayap Kuching City, Nur Shamie Iszuan kini menjadi buruan Penang. Beberapa sumber menyatakan perpindahan itu berpotensi melibatkan pertukaran pemain, sama ada bersama Amirul Hisyam Awang Kechik atau Arif Farhan Isa,” lapor T. Avineshwaran minggu lalu.
Dengan Shamie Iszuan sudah pun menyarung jersi Penang, nampaknya para peminat hanya perlu menanti sedikit masa lagi untuk menyaksikan kehadiran Ariff Farhan ke Kuching City.