Pemain tengah Indonesia, Thom Haye mendedahkan keluarganya menerima ugutan bunuh daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Perkara ini didedahkan sendiri pemain tengah berusia 30 tahun itu menerusi satu hantaran di Instagram Story.

“Saya boleh terima banyak perkara sebagai pemain profesional. Tetapi saya memohon agar orang berhenti menghantar mesej buruk dan ugutan bunuh terhadap keluarga saya.
“Bola sepak tidak seharusnya pergi ke tahap sebegitu,” katanya.
Ramai peminat bola sepak Indonesia percaya ini ada kaitan dengan keputusan perlawanan membabitkan pasukan Haye, Persib Bandung dan Persija Jakarta.
Aksi terbaru Indonesia Super League itu menyaksikan Pangeran Biru meraih kemenangan tipis 1-0. Beckham Putra menyumbat gol kemenangan seawal minit kelima.
Aksi tersebut turut dicemari dengan terjahan kasar membabitkan kedua-dua pasukan. Persija turut beraksi dengan 10 pemain apabila Bruno Tubarao dibuang padang pada babak kedua.
Hal ini turut disentuh Haye. Bekas pemain tengah Heerenveen itu percaya hal ini perlu ditangani jika Indonesia mahu membawa bola sepak negara itu ke tahap lebih baik.
“Pada masa sama, saya rasa sedih di mana terdapat banyak perlawanan yang dibayangi oleh tingkah laku tidak wajar dan kekasaran yang tidak sepatutnya.
“Ianya sedih melihat pemain-pemain menyumbang kepada isu ini dan merosakkan kualiti permainan.
“Perkara gila ialah jika anda bercakap tentang hal ini, mereka akan lebih ingin berlawan. Rasa hormat penting demi kemajuan sukan ini,” tambahnya.
Keputusan ini menyaksikan Persib kembali ke persada liga dengan 38 mata, satu mata di hadapan Borneo FC.