Advertising
Kemenangan Kembali Suntik Keyakinan Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Tonggak import Terengganu FC, Manuel Ott percaya kemenangan pertama dalam Kumpulan A Shopee Cup kembali memberi keyakinan kepada pasukan itu.

Terengganu kembali menghidupkan peluang mara ke separuh akhir apabila membelasah Shan United 5-0 di Stadium Thuwunna baru-baru ini.

Ad

Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Ott masing-masing mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu. Shan United juga bernasib malang apabila menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.

Ad

Kini, Terengganu bakal berdepan misi sukar bukan saja dalam Shopee Cup. Malah, pasukan yang diberi jolokan Peteh itu berdepan misi mencabar di peringkat separuh akhir Unifi Piala Malaysia dan Liga Super.

Ini kerana saingan dua kejohanan itu menyaksikan Terengganu berentap dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebanyak tiga kali pada Januari.

Ad

Baki dua aksi Kumpulan A Shopee Cup pula menyaksikan Peteh berdepan cabaran wakil Indonesia, PSM Makassar dan wakil Thailand, BG Pathum United.

Ad

Ott mengakui aksi-aksi ini cukup mencabar buat anak buah Badrul Afzan Razali itu. Pada masa sama, beliau percaya kemenangan ke atas Shan United memberi keyakinan kepada mereka untuk tampil cemerlang dalam setiap aksi berkenaan.

Ad

“Ya, kita akan berdepan lawan-lawan yang sukar pada aksi seterusnya. Tapi ia bagus juga buat kita kerana sudah meraih beberapa kemenangan sebelum menghadapi perlawanan sukar kita,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Kemenangan ini bagus buat semua orang yang terlibat. Kita memiliki permainan yang bagus (ketika menentang Shan United), jadi ia memberi keyakinan kepada semua pemain dan keyakinan mereka juga tinggi.

“Ya, tidak sabar untuk menghadapi aksi (seterusnya). Ia mungkin sukar tetapi apa saja boleh berlaku dalam 90 minit. Dan kita sudah bersedia menghadapi cabaran seterusnya.”

Selain meraih kemenangan ketika menentang Shan United, Peteh juga kekal tanpa kalah dalam semua kejohanan sebanyak lapan perlawanan.

Rekod ini bakal diuji apabila mereka berdepan JDT pada 17 Januari dan PSM Makassar (22 Januari).