Ketua jurulatih perseorangan Malaysia, Kenneth Jonassen memulakan tugasnya hari ini.
Ini selepas wartawan Astro Arena, Zaki Zainal memuat naik video Jonassen meninjau sesi latihan pemain perseorangan negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Jurulatih Denmark itu menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggalas peranan itu pada November lalu.
Jonassen menyertai BAM dengan kontrak selama empat tahun. Beliau bakal bekerjasama dengan Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky untuk merealisasikan misi pingat emas dalam temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Antara pemain perseorangan yang dilihat tekun berlatih ialah Eogene Ewe, Justin Hoh, Aidil Sholeh dan Ng Tze Yong.
Kelibat Tze Yong dijangka menggembirakan peminat badminton negara selepas sebelum ini berehat panjang akibat kecederaan. Pemain berusia 24 tahun itu dilihat semakin cergas beraksi di gelanggang.
Selain pemain-pemain perseorangan negara, bekas anak didik Jonassen, Anders Antonsen turut dilihat berlatih di ABM.
Pemain nombor dua dunia itu selalu menggunakan ABM sebagai tempat beliau berlatih terutama sebelum mengharungi kejohanan-kejohanan penting di Asia.
Jonassen dijangka sibuk mempersiapkan barisan pemain perseorangan negara terutama Leong Jun Hao. Jun Hao menjadi satu-satunya wakil perseorangan lelaki negara dalam saingan Malaysia Open 2025.
Ini selepas pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia menarik diri daripada kejohanan itu. Zii Jia berbuat demikian kerana belum pulih daripada kecederaan ligamen buku lalinya.
Jun Hao bakal berdepan jaguh China, Lu Guang Zu dalam pusingan pertama kejohanan pada 7 Januari ini.