Pemain tengah pasukan Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj menegaskan sifat berkawan harus dilupakan ketika masing-masing turun untuk berjuang demi lencana di dada ketika beraksi di atas padang.
Bekas pemain pasukan Perak FC ini menjelaskan situasi mengenai penghijrahan beliau ke pasukan KL City akibat daripada beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
Bukan itu sahaja, beliau turut mengakui ianya bukanlah satu perkara yang mudah untuk diambil memandangkan keberadaannya bersama pasukan The Bos Gaurus sudah terjalin sejak sekian lamanya.
‘Bukan mudah untuk saya mengambil keputusan ini memandangkan sejak kecil saya sudah beraksi bersama Perak.’
‘Saya tidak pernah bermain untuk kelab lain dan sukar untuk saya apabila terpaksa berdepan dengan pasukan Perak buat pertama kalinya.’
Namun begitu, ianya bukanlah satu alasan yang boleh diambil kerana setiap pemain menurut Kenny haruslah berjuang sehabis baik bersama pasukan yang diwakilinya.
‘Masa dalam perlawanan sebenar kita tak boleh fikir kawan ke apa.’
‘Emosi dalam perlawanan merupakan satu perkara yang sangat berbeza. Kita lakukan terjahan tetapi selepas habis perlawanan kita minta maaf,’- Jelasnya dalam Dokusiri Sampai Mati Kuala Lumpur.
Beliau kini sedang menikmati musim terbaiknya apabila penghijrahan ke pasukan KL membuahkan hasil apabila menjadi watak penting untuk menjulang Piala Malaysia musim ini.
Dengan aksi pasukan kendalian Bojan Hodak di pentas AFC, KL City sudah pastinya mahu memberikan yang terbaik untuk memperoleh keputusan yang positif dalam setiap kejohanan.