Pemain pertahanan KL City FC, Kenny Pallraj mahu melihat pasukan itu berada dalam kedudukan tiga pasukan terbaik Liga Super musim 2024/25.
Hasrat itu diluahkan beliau selepas membantu The City Boys melakar kemenangan mengejut ke atas Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Julai lalu.
Pemain sayap Bosnia-Herzegovina, Jovan Motika muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan yang menewaskan penjaga gol The Red Giants, Samuel Somerville pada minit ke-63.
Menerusi satu temu bual bersama wartawan MakanBola, Faris Zukeiman, beliau melihat sasaran ini bukan sesuatu yang mustahil buat pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.
Ini kerana jurang mata antara semua pasukan yang berada di tangga kedua hingga kelapan cukup rapat dan hanya dipisahkan beberapa mata. Justeru, Kenny melihat sasaran ini mampu direalisasikan oleh The City Boys.
“Bagi kita, kita selalu letak sasaran tinggi. Jadi, bila kita sasar yang tertinggi, kita boleh capai yang terdekat dengan yang tertinggi.
“Jadi, pada saya secara peribadi, saya selalu sasar berada dalam kelompok tiga terbaik. Itu sasaran saya dalam mana-mana pasukan (termasuk) pasukan bukan pilihan atau mana-mana, saya tak kisah.
“Bagi saya, kelompok tiga terbaik itu penting. Kalau pertandingan piala, saya sasar final. Sekurang-kurangnya pendekatan itu berhampiran dengan sasaran kita,” katanya.
Kenny turut mengharapkan isu tunggakan gaji yang timbul dapat diselesaikan dengan segera. Ini kerana apabila isu itu sudah berakhir, KL City mampu fokus untuk tampil lebih bagus di atas padang.
“Jadi, saya rasa kita mulakan musim dengan baik. Saya rasa kalau isu gaji dapat diselesaikan dengan cara yang baik, saya rasa pasukan akan dapat pergi jauh. Dengan ACC lagi (ASEAN Club Championship), saya rasa kita boleh banggakan nama Malaysia di sana,” tambahnya.
KL City kini menduduki tangga keempat liga dengan tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.