Bek tengah KL City FC, Kenny Pallraj melihat elemen perpaduan sebagai elemen penting buat Selangor untuk mara lebih jauh ke peringkat Asia.
Pemain pertahanan berusia 31 tahun itu bukan asing dengan saingan bola sepak Asia. Ini kerana beliau pernah beraksi dalam saingan Piala AFC bersama The City Boys pada tahun 2022.
Tahun tersebut menyaksikan KL City menjadi pasukan Malaysia kedua berjaya mara ke final selepas Johor Darul Ta’zim (JDT). Walau bagaimanapun, hajat mereka bergelar juara tersekat apabila tewas 3-0 kepada pasukan Oman, Al-Seeb.
Kenny melihat elemen perpaduan sebagai kunci utama kejayaan pasukan Lembah Klang itu di pentas Asia. Seandainya elemen ini menjadi teras utama perjuangan Selangor untuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), tidak mustahil pasukan itu mampu melangkah ke pusingan seterusnya.
“Bagi saya, yang paling penting ialah perpaduan dalam kalangan pasukan. Semua kena bekerja dengan satu hati, tiada pecah-belah di mana-mana.
“Walaupun ada perlawanan yang sukar (macam) kita kalah ke apa, kita beri motivasi kepada pasukan dan sentiasa bersama. Sebab pasukan itu yang membawa kita ke tempat tertinggi,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Selangor terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 1-0 di tangan Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi keempat Kumpulan H. Tiago memastikan anak buah Kim Do-heon ceria dengan tiga mata penuh.
Keputusan ini menyaksikan Selangor kini di tangga kedua kumpulan dengan tujuh mata, dua mata di belakang Jeonbuk.
Kini, fokus Merah Kuning beralih kepada aksi kelima Kumpulan H menentang Muangthong United. Aksi tersebut bakal berlangsung pada 28 November ini di Stadium MBPJ.