Selangor FC meluahkan rasa amat kesal berhubung insiden yang melibatkan sebilangan kecil penyokong di Jambatan Angkat (Drawbridge) sebelum aksi Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi kelab, Selangor FC memandang serius insiden berkenaan dan menegaskan bahawa tindakan segelintir individu tersebut tidak mencerminkan nilai serta semangat sebenar komuniti penyokong Selangor.
Dalam masa sama, kelab turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu atas tindakan tegas dan profesional yang diambil bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan orang ramai sepanjang insiden tersebut.
Selangor FC menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan awam. Kelab turut menyelar keras sebarang salah laku yang bercanggah dengan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh Selangor FC serta ekosistem bola sepak negeri Selangor secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Selangor FC berharap insiden ini dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak dan menggesa para penyokong agar sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab, saling menghormati dan bersatu padu dalam memberi sokongan kepada pasukan.
Kelab percaya bahawa budaya sokongan yang positif dan sihat adalah elemen penting dalam memartabatkan bola sepak tempatan. Selangor FC turut menegaskan komitmen mereka untuk terus terbuka berbincang dengan mana-mana kumpulan penyokong serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam usaha menjamin keselamatan dan memperkasakan kemeriahan sukan bola sepak di Malaysia.