Ultras Selangor disiasat polis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan susulan kenyataan tidak sepatutnya yang dibuat ahli kumpulan itu sebelum aksi Liga Super antara Terengganu FC dan Selangor FC.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin memaklumkan siasatan dibuat selepas sebahagian ahli Ultras Selangor memberi maklum balas kurang sopan berhubung tindakan mereka membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
“Dalam 186 ini, kami tanyakan kepadanya kenapa membakar suar di Jambatan Angkat dan kenyataannya, ‘Tak kan mahu bakar suar dalam hutan, nak suruh beruk tengok ke?’
“Dan atas kesalahan itu, kami menangkapnya kerana dia mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya kepada penjawat awam,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Selain mengeluarkan kenyataan tidak sopan kepada penjawat awam, Ultras Selangor turut disiasat atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Seramai 412 ahli Ultras Selangor ditahan pihak berkuasa pada 1 Februari lalu. Ini selepas mereka berarak dari Kuala Terengganu ke Seberang Takir sebelum perlawanan sambil membawa bendera dan menyalakan suar.
Video insiden tersebut tular di media sosial dengan salah satunya dikongsikan pemerhati bola sepak Terengganu, Piang Shankly.
Susulan itu, 33 orang penyokong dibawa ke Mahkamah Majistret pada Isnin untuk perintah tahanan reman. 24 daripadanya didapati positif dadah dengan tiga individu dikesan memiliki ganja dan eramin 5.
Selain Seksyen 186 Kanun Keseksaan, polis turut melancarkan siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Ini kerana polis merampas sebanyak 70 batang suar pelbagai saiz dengan 54 daripadanya sudah dinyalakan. Baki 16 suar lagi belum digunakan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM7,500.