Keputusan CAS Keluar, Strategi Harimau Malaya Berubah
MakanBola
Malaysia NT

Harimau Malaya dijangka tampil dengan strategi berbeza selepas keputusan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Pengumuman keputusan penuh daripada CAS bertarikh 5 Mac 2026 itu menyaksikan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada pasukan kebangsaan sebahagian besarnya dikekalkan.

“Panel CAS memutuskan bahawa ketujuh-tujuh pemain tersebut dikenakan penggantungan selama 12 bulan, namun hukuman itu hanya melibatkan penyertaan dalam perlawanan rasmi dan tidak merangkumi semua aktiviti berkaitan bola sepak.

“Dalam masa sama, rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditolak, sekali gus mengekalkan keputusan FIFA untuk mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 Juta) terhadap badan induk bola sepak negara itu.”

Selepas meneliti segala bukti yang dikemukakan, CAS dalam kenyataannya mendapati bahawa kesalahan memalsukan dokumen kelayakan pemain sememangnya telah berlaku. 

Panel turut memutuskan bahawa penggantungan selama 12 bulan daripada beraksi dalam perlawanan merupakan hukuman yang munasabah dan seimbang terhadap para pemain, mengambil kira tanggungjawab bersama mereka dalam kes penipuan tersebut.

Namun begitu, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC), Panel memutuskan bahawa penggantungan tersebut hanya terpakai kepada penyertaan dalam perlawanan rasmi, dan tidak melibatkan semua aktiviti berkaitan bola sepak. 

“Ini bermakna para pemain dibenarkan kembali menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan,” ujar kenyataan CAS.

Sehubungan itu, rayuan yang difailkan oleh para pemain diterima sebahagiannya, sekali gus menyaksikan pindaan terhadap bentuk hukuman yang dikenakan.

Tempoh penggantungan daripada beraksi dalam perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, dengan mengambil kira kredit tempoh hukuman yang telah dijalani sebelum ini dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026, di mana penggantungan tersebut telah dilaksanakan secara efektif.

Panel CAS turut memutuskan bahawa denda sebanyak CHF350,000 yang dikenakan ke atas FAM oleh FIFA adalah wajar dan seimbang dengan kesalahan yang berlaku.

Keputusan ini merupakan keputusan operatif (tanpa alasan penuh). Anugerah penuh CAS yang mengandungi alasan terperinci akan dikeluarkan pada masa terdekat.

Keputusan ini juga menyaksikan Harimau Malaya terlepas menggunakan khidmat tujuh pemain –  Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal dan Hector Hevel bagi aksi terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Cklamovski dijangka menggunakan magisnya tatkala Malaysia memiliki skuad yang berkualiti hasil persembahan cemerlang pemain tempatan di Liga Super Malaysia 2025-26.

Malah, aksi cemerlang barisan pemain negara yang beraksi pada kancah tertinggi bola sepak Asia bersama kelab luar membuka peluang pasukan kebangsaan kekal dibarisi pemain berkualiti tinggi.