Media Vietnam menyentuh keputusan yang dibuat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.
Portal TheThao247 menyentuh tentang keputusan CAS menerima sebahagian rayuan yang difailkan Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Facundo Garces.
Meskipun ketujuh-tujuh pemain itu masih perlu menjalani penggantungan 12 bulan, ia hanya melibatkan perlawanan rasmi sahaja.
Ini kerana ketujuh-tujuh pemain negara itu masih dibenarkan menjalani aktiviti bola sepak lain termasuk berlatih bersama kelab masing-masing.
TheThao247 menyifatkan keputusan CAS mengubah hukuman penggantungan tersebut sebagai satu konsesi penting kepada semua pemain terlibat.
CAS turut memutuskan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM dikekalkan.