Ketua Pegawai Operasi (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan keputusan perlawanan yang kurang memuaskan Gergasi Merah pasti berbeza jika adanya Faisal Halim di atas padang.
Menurut Johan, kem Selangor kendalian Nidzam Jamil amat menantikan kepulangan semula Faisal yang terpaksa berehat panjang akibat disimbah asid pada 5 Mei lalu.
“Perkara ini (prestasi kurang memuaskan Selangor) berlaku tanpa Faisal Halim. Apabila beliau kembali mungkin dari segi keputusan akan berbeza daripada yang kita hadapi ketika ini.
“Faisal adalah penjaring gol terbanyak pemain tempatan tahun lepas, 12 gol dan 10 bantuan gol. Tetapi sudah tentu, perkara sebegini (insiden Faisal disimbah asid) tidak dijangka dan kita perlu laluinya.
“Namun, saya percaya pasukan akan dapat bangkit kembali. Sekarang ini kita cuba menambah baik prestasi pasukan dari semasa ke semasa,” katanya yang dipetik Stadium Astro.
Untuk rekod, Selangor telah tewas dua perlawanan berturut-turut selepas tunduk 0-1 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) di saingan Liga Super dan diikuti kekalahan 2-3 kepada Terengganu di saingan Piala FA.
Selangor akan meneruskan saingan liga dengan aksi bertemu Penang FC pada 27 Julai ini sebelum bertemu Sri Pahang FC pada 31 Julai.