Advertisements
Kerajaan Salur RM230 Juta Buat Atlet Paralimpik & RTG
UltraSukan
UltraSukan
MSN Malaysia

Pembangunan sukan negara terus diperhebatkan apabila sektor itu menerima peruntukan sebanyak RM230 juta dalam Belanjawan 2025.

Peruntukan ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan belanjawan berkenaan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober lalu.

Peruntukan tersebut merangkumi bukan saja Program Podium, latihan atlet dan Road to Gold (RTG), persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.

Malah, peruntukan ini turut meliputi kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta geran padanan sukan. Geran ini bertujuan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Peruntukan ini jauh lebih banyak daripada peruntukan untuk sektor sukan dalam Belanjawan 2024. Belanjawan 2024 menyaksikan RM20 juta disalurkan untuk program RTG.

Sementara RM50 juta lagi diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan prasarana sukan yang daif.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria memuji Belanjawan 2025 kerana memberi sokongan kepada sukan berstatus acara Olimpik dan bukan Olimpik.

“Inisiatif-inisiatif utama seperti program Podium dan Road to Gold, terus menyediakan sumber dan latihan berkelas dunia buat para atlet.

“Peruntukan untuk bola sepak dan pengecualian cukai bagi penerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) jelas menunjukkan dedikasi kerajaan kepada kecemerlangan dunia sukan.

“Belanjawan 2025 melambangkan pemahaman penuh kerajaan tentang peranan sukan dalam menyatukan dan membangkitkan semangat negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebahagian daripada peruntukan ini bakal digunakan untuk membantu persiapan atlet yang akan bersaing dalam Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.