Advertisement
Kerana Azan, Cristiano Ronaldo Sanggup Minta Hentikan Latihan
Inspirasi
MakanBola
Al-Nassr FC

Seorang bekas penjaga gol Al-Nassr mendedahkan Cristiano Ronaldo sanggup menghentikan latihan pasukan itu bagi menghormati laungan azan.

Perkara ini dikongsikan sendiri penjaga gol veteran Arab Saudi, Waleed Abdullah semasa menjadi tetamu program televisyen Al-Hissa Al-Akhira baru-baru ini.

Sejak menyertai Al-Alami pada Januari 2023, Waleed mendedahkan Ronaldo menunjukkan minat mendalam terhadap budaya dan agama masyarakat Arab terutama agama Islam.

Ini bertujuan membantu beliau lebih memahami dan menghormati rakan-rakan sepasukannya yang beragama Islam. Malah, legenda Manchester United itu berusaha memastikan rakan-rakan sepasukannya bersolat antara setiap sesi latihan.

“Apabila azan dilaungkan semasa latihan, Ronaldo meminta jurulatih untuk menghentikan seketika sesi sehingga tamat.

“Pada awalnya, saya cukup rapat dengan Ronaldo kerana beliau tidak biasa dengan budaya Arab Saudi, kelab atau aspek-aspek lain. Beliau memiliki sikap ingin tahu dan kerap bertanya kepada saya tentang perkara-perkara tertentu,” katanya.

Pemilik nama sebenar Waleed Abdullah Ali Al-Dawsari itu turut mendedahkan legenda Portugal itu menunjukkan minat memeluk agama Islam. Satu perkara yang disedarinya ialah apabila Ronaldo memilih untuk sujud setiap kali menjaringkan gol.

“Apabila Ronaldo sujud di atas padang selepas menjaringkan gol, semua pemain sama-sama menjerit Allahu Akbar,” ujarnya.

Penjaga gol berusia 38 tahun itu bukan saja kagum dengan disiplin dan komitmen yang dipamerkan Ronaldo sebagai pemain. Malah, Waleed turut tersentuh dengan kelunakan budi yang dipamerkan beliau dan puteranya, Cristiano Jr.

“Beliau cukup berdisiplin dan seorang pemain yang berdedikasi, disiplin inilah yang membawanya ke kedudukan (yang kita kenali hari) ini.

“Sesiapa saja yang datang ke Arab Saudi cukup menghargai beliau dan merasa selesa bersamanya,” tambahnya.

Waleed kini beraksi untuk kelab divisyen kedua Arab Saudi, Al-Diraiyah selepas meninggalkan Al-Nassr pada musim panas 2024.

Ronaldo kini fokus dengan misi memburu 1,000 gol selepas berjaya melepasi sasaran 900 gol. Beliau kini merekodkan 915 gol selepas menyumbat dua gol ketika menentang Damac baru-baru ini.

Khidmat Ronaldo dijangka ditagih jurulatih Itali, Stefano Pioli untuk aksi terbaru Saudi Pro League (SPL) menentang Al-Ittihad pada 7 Disember ini.