Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyatakan berkenaan kes pemain warisan Harimau Malaya.
Baginda dalam satu kenyataan bagaimanapun melihat terdapat banyak lagi masalah bola sepak Malaysia yang sudah melarat sejak puluhan tahun.
DYAM Tunku Ismail menganggap bahawa terdapat cubaan untuk menutup mata pihak lain atas kegagalan kelab sendiri dengan mengalihkan isu berkenaan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
“Ada yang kononnya expert cakap bola sepak Malaysia dah mati pasal isu mutu pengadilan dan kes pemain warisan.
“Mengapa tiada sorang pun yang cakap berkenaan krisis sebenar seperti pucuk kepimpinan lama badan induk tak beri duit hak penyiaran televisyen kepada pasukan bertanding?
“Mengapa tiada sorang pun bangkitkan isu Malaysia tiada pertandingan kompetitif untuk pembangunan belia?,” ujarnya.
DYAM Tunku Ismail juga menyebut bahawa terdapat beberapa masalah besar lain yang berlaku dalam Liga Malaysia yang sudah melarat puluhan tahun.
“Mengapa tiada yang mempersoalkan bertahun-tahun isu tak bayar gaji dan kegagalan mengurus kewangan.
“Kenapa tiada yang mempersoalkan kami masih guna rumput lembu, stadium masih buruk, lampu limpah masih kuning?
“Mengapa tiada yang mempersoalkan pasukan tiada pusat latihan dah berpuluh tahun? Mengapa tiada ‘so called’ pakar tidak mempersoalkan isu ini?,” tambahnya lagi.
Tunku Ismail melihat bahawa cara yang paling mudah untuk rabunkan mata penyokong adalah menuding jari kepada isu lain, orang lain supaya boleh tutup kelemahan dan kegagalan diri sendiri.
“Kegagalan sahabat-sahabat mereka dalam pengurusan, kegagalan pasukan sendiri yang dah wujud berpuluh tahun. Pure hypocrites,” katanya lagi pada hantaran Johor Southern Tigers.