Penjaga gol Filipina, Kevin Ray Mendoza sah akan mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan KL City FC.
Ini selepas Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menyiarkan poster penghargaan kepada beliau sepanjang bersama The City Boys susulan kemenangan 3-0 KL City ke atas Kelantan United FC hari ini.
Sejak menyertai KL City pada 2021, Mendoza telah merekodkan 69 penampilan sebagai penjaga gol utama. Ini termasuk 17 perlawanan untuk musim 2023.
Sepanjang bersama The City Boys, beliau telah membantu pasukan itu meraih gelaran juara Piala Malaysia (2021), naib juara Piala AFC (2022) dan naib juara Piala FA (2023).
Pengumuman rasmi tentang pemergian beliau akan dibuat oleh pengurusan kelab selepas tamat perlawanan KL City dan Kelantan United.
Begitupun, ramai tertanya-tanya destinasi Mendoza yang seterusnya selepas ini. Ada yang berspekulasi beliau bakal bergabung dengan bos lamanya di KL City, Bojan Hodak di Persib Bandung.
Gosip perpindahan ini didedahkan oleh wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran pada 9 November lalu.
Tidak kira ke mana destinasi beliau selepas ini, jasanya kepada pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu tidak akan dilupakan penyokong The City Boys.