Khabar Duka Richard Chin Di Scotland
MakanBola
Ross County FC

Jurulatih Ross County, Stuart Kettlewell mendedahkan Richard Chin masih mengalami kecederaan menjelang aksi suku akhir Scottish League Cup menentang Hibernian.

Kettlewell memaklumkan pemain sayap Harimau Malaya itu hanya mengadu merasa tidak selesa pada bahagian paha. Beliau berharap dapat melihat Richard kembali beraksi pada minggu seterusnya.

“(Tentang) Richard Chin, ada sedikit kebimbangan. Beliau dikeluarkan pada perlawanan Sabtu lalu dan mengadu (rasa kurang selesa) di bahagian peha.

“Kita harap beliau dapat kembali beraksi di atas padang pada akhir minggu ini,” katanya seperti dilaporkan akhbar The Press & The Journal.

Kenyataan Kettlewell memberi kelegaan kepada penyokong Ross County bahawa kecederaan yang dialami Richard tidak serius. Beliau mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang East Fife baru-baru ini.

Sekiranya semua berjalan lancar, graduan akademi Charlton Athletic itu berpeluang kembali beraksi sama ada dalam aksi menentang Queen of the South pada 16 September atau Cove Rangers (19 September).

Berita ini juga dijangka memberi kelegaan kepada jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. Cheng Hoe tidak akan berdepan masalah jika mahu memanggil Richard menyertai kem latihan pusat pada 21 September ini.