Bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat berharap dapat merangkul satu trofi bersama Sabah FC musim ini.
Hasrat itu dizahirkan beliau selepas melihat pasukan dari Negeri Di Bawah Bayu itu kecundang di peringkat separuh akhir dan suku akhir kejohanan musim 2024/25.
Saingan Piala FA menyaksikan Sabah dikecewakan Terengganu FC di peringkat suku akhir. Sang Badak juga kempunan mara ke final Piala Malaysia apabila tewas kepada Sri Pahang FC di peringkat separuh akhir.
Atas sebab itu, Khairul Fahmi yang mesra disapa Apek berharap musim 2025/26 menjadi pendorong Sabah untuk meraih sekurang-kurangnya satu trofi.
“Dah tiga musim sejak saya hadir ke sini, Sabah FC menamatkan saingan liga di tangga ketiga, jadi sudah tentu secara peribadi, saya nak tengok pasukan ini sekurang-kurangnya dapat merasai pentas final tidak kira di Piala Malaysia atau Piala FA.
“Sebelum ini kalau kita tengok, biasanya kita akan berjaya sampai ke suku akhir atau separuh akhir sahaja, tapi saya percaya dengan persediaan lebih baik, kita boleh untuk merangkul satu trofi.
“Jadi, saya harap Sabah dapat bersaing lebih cemerlang dan dapat bagi tentangan sengit juga kepada kelab lain di pentas Liga Super, dan terima kasih sangat-sangat kepada semua penyokong Sabah yang sentiasa ada bersama kami,” katanya.
Sabah diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain baharu seperti Fergus Tierney, Dean Pelekanos, Dane Ingham dan Ajdin Mujagic.
Sang Badak turut mengekalkan ramai tonggak utama seperti Stuart Wilkin, Dominic Tan, Gabriel Peres, Miguel Cifuentes, Jafri Firdaus Chew dan Gary Steven Robbat.